suria

Hanya Sekitar 8,500 Pengguna di Klang, Shah Alam & Gombak Masih Alami Gangguan Bekalan Air

KUALA LUMPUR: Situasi bekalan air di Lembah Klang yang terjejas berikutan pencemaran di Sungai Selangor, hampir pulih sepenuhnya dengan hanya sekitar 8,500 pengguna masih mengalami gangguan bekalan air setakat pukul 9 pagi Rabu. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan berkata kawasan yang masih terjejas ialah Seksyen 22, Seksyen 25, Seksyen 26, Seksyen 27, Seksyen 29, Kampung Baru Hicom dan Subang Mas di Klang dan Shah Alam yang meliputi 3,470 pengguna.

Sekitar 4,961 pengguna di Kampung Ampang Campuran, Kampung Tasek Permai dan Taman Tasek Tambahan di Gombak juga masih mengalami masalah bekalan air.

Berikutan dari tahap pemulihan bekalan air itu, Syabas telah menurunkan tahap Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning bagi wilayah Klang/Shah Alam dan Gombak kepada ERP Kod Hijau.

ERP Kod Kuning bagi wilayah Petaling dan Kuala Lumpur juga ditamatkan pada pukul 9 pagi ini.

"Walau bagaimanapun, pihak Syabas akan terus memantau dan mengedalirus pemulihan bekalan air serta pengagihan bantuan bekalan air kepada pengguna yang masih terjejas dan akan terus memaklumkan dari semasa ke semasa berhubung status pemulihan bekalan air di kawasan yang terlibat sekiranya perlu," tambah kenyataan itu.

Katanya sehinga kini, sebanyak 43 lori tangki telah melakukan 669 trip penghantaran bekalan air ke kawasan pengguna yang terlibat, manakala sejumlah 66 buah tangki air statik juga diletakkan di lokasi yang strategik di wilayah tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain