suria

Pemandu Teksi Mengaku Tidak Bersalah Ugut Pengurus Bengkel Kereta

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Isnin terhadap pertuduhan mengugut seorang pengurus bengkel kereta Khamis lepas.

Kong Mun Feng, 41, didakwa mengugut Moi Ming Ann @ Moo Ming Ann, 43, dengan niat hendak mencederakannya di CTS Tyre Car Services Sdn Bhd, Desa Pandan di sini pada 5.20 petang, 29 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kong juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki sebilah parang berukuran 47 sentimeter di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, namun Kong yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan perlu menanggung ibu dan dua anak.

Majistret Zuraini Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 27 September untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain