suria

Mangsa Cubaan Samun Maut

Kemalangan tragis...Pasukan forensik memeriksa kereta Proton Wira milik mangsa dan mengumpul bukti di lokasi kejadian.
Kemalangan tragis...Pasukan forensik memeriksa kereta Proton Wira milik mangsa dan mengumpul bukti di lokasi kejadian.
Kemalangan tragis...Pasukan forensik memeriksa kereta Proton Wira milik mangsa dan mengumpul bukti di lokasi kejadian.

SHAH ALAM: Hasrat dua lelaki untuk menyelamatkan seorang wanita yang cuba disamun di depan mata bertukar tragedi selepas kenderaan diundur dengan laju untuk melanggar suspek terlanggar mangsa menyebabkannya meninggal dunia.

Menyedari sesuatu buruk menimpa mangsa, kedua-dua lelaki tersebut membawanya ke hospital berhampiran tetapi segalanya sudah terlambat.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, Shahrinawati Abu Bakar, 30, seorang kakitangan AirAsia meletakkan kenderaannya di kawasan luar Kondominium Palm Villa Condo, Taman Cempaka, Ampang Jaya, selepas selesai bekerja syif malam.

Tiba-tiba muncul seorang suspek lelaki menaiki sebuah motosikal lalu berhenti di hadapannya dan cuba menyamun mangsa kira-kira pukul 2.45 pagi Khamis.

"Perbuatan suspek itu disedari dua pemuda menaiki sebuah kereta Proton Wira yang kebetulan melintasi kawasan tersebut.

"Mereka kemudian mengundurkan kenderaannya dengan laju untuk melanggar suspek tetapi malangnya terlanggar mangsa," katanya ketika ditemui di ibu pejabat polis Selangor di sini, Khamis.

Amiruddin berkata suspek berjaya mengelak kereta yang bergerak lalu dan melarikan diri dengan motosikal Yamaha LC manakala dua lelaki tersebut membawa mangsa ke hospital di Kuala Lumpur dengan segera.

"Malangnya, Shahrinawati disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi," katanya.

Amiruddin berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati kematian mangsa adalah akibat impak yang kuat daripada kemalangan itu dan tiada sebarang kesan penggunaan senjata tajam.

Katanya, polis telah merakam percakapan saksi dan kedua-dua pemuda itu dibebaskan selepas sesi soal siasat selesai.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Malang tidak berbau apabila pemandu melanggar Shahrinawati. Dia hanya ingin membantu mangsa," katanya.

Dalam majlis pengebumian Shahrinawati di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sungai Seputih, Kuala Lumpur malam Khamis, keluarga dan tunangnya, Mohd Azrul Kamarudin masih terkejut mengenai berita kematian itu.

Mohd Azrul berkata, agak sukar untuk menerima Shahrinawati sudah pergi buat selama-lamanya.

"Kami baru saja bertunang April tahun ini dan akan berkahwin pada Disember ini," katanya.

Dia menyifatkan Shahrinawati, anak sulung daripada empat beradik, sebagai penyayang, ceria dan prihatin.

"Kami akan merinduinya," katanya.

Sementara itu, Amiruddin berkata pihak polis sedang memburu suspek dan turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu boleh menghubungi polis di talian 03-20529999 atau pergi ke balai polis berhampiran.

Artikel Lain