suria

Bimbingan Kementerian Bantu Perunding TPPA Pertingkat Usaha

BANDAR SERI BEGAWAN: Perunding Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memperkukuh usaha mereka untuk merapatkan jurang antara mereka seperti yang diarahkan oleh kementerian masing-masing dalam pusingan ke-19 rundingan itu yang berakhir pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, para menteri 12 negara ahli TPP yang bertemu di sini pada 22-23 Ogos berkata mereka memberikan bimbingan kepada para perunding dalam mencapai perjanjian tersebut.

Hasil dorongan daripada bimbingan dan komitmen kementerian, para perunding membincangkan kerja teknikal mereka secara tertutup sejak sembilan hari lepas berkaitan topik yang merangkumi akses pasaran, peraturan tempasal, pelaburan, perkhidmatan kewangan, hartanah intelektual, persaingan dan alam sekitar.

"Mereka juga mencatatkan kemajuan dalam pakej yang menyediakan akses kepada pasaran antara satu sama lain bagi barangan, perkhidmatan, pelaburan, perkhidmatan kewangan, kemasukan sementara dan pemerolehan kerajaan. "Perbincangan mereka secara bersama dan secara dua hala berjaya dalam mengenal pasti penyelesaian kreatif dan pragmatik kepada banyak isu dan mengurangkan lagi baki isu tertunggak," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pusingan ke-19 rundingan tersebut juga menyaksikan perunding yang bertanggungjawab bagi isu-isu buruh meneruskan perbincangan mereka bagi menyelesaikan isu tertunggak.

Perunding akan bertemu kembali dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk meneruskan perbincangan mereka. -BERNAMA

Artikel Lain