suria

Mara Kaji Alih Tempat Pengajian Pelajar Tajaannya Di Mesir - Annuar Musa

SEREMBAN: Mara sedang mengkaji beberapa langkah bagi membantu para pelajar tajaannya di Mesir yang menghadapi kemungkinan terganggu pengajian akibat kegawatan politik di negara itu, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya, Mara sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran. Beliau berkata beberapa pilihan sedang dikaji termasuk mengalihkan tempat pengajian pelajar berkenaan.

"Ini termasuk menyambung pembelajaran di universiti lain di dalam negara dan negara lain termasuk Indonesia dan India," katanya.

Berikutan itu, katanya, Mara akan mengadakan perjumpaan dengan kesemua pelajar berkenaan setelah mereka pulang ke negara ini, minggu depan.

Beliau berkata pihaknya akan berdailog dan menerangkan kepada pelajar itu mengenai rancangan membantu mereka meneruskan pengajian.

"Kita harap mereka bersabar...Dalam hubungan ini, kita mengambil sikap terbuka.

"Kebanyakan mereka adalah pelajar dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi dan sebahagian besar mereka berada di Iskandariah, Tanta, Mansourah dan Kaherah.

"Operasi membawa balik 1,673 orang pelajar ini sedang berjalan berperingkat-peringkat dan dijangkakan operasi ini akan berakhir sehingga esok," kata Annuar kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Giat Mara Seremban di sini.

Beliau dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negeri ini.

Turut hadir Pengerusi Giat Mara Datuk Jaujan Sembakong dan Timbalan Ketua Pengarah Mara (Pendidikan) Datuk Abd Rahim Abd Ghani. - BERNAMA

Artikel Lain