suria

Tempoh Reman Wanita Disyaki Dera Pembantu Rumah Dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Tempoh reman seorang wanita yang didakwa mendera pembantu rumahnya warga Indonesia di Subang Bestari, Shah Alam, Khamis lepas dilanjutkan sehingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang berkata tempoh reman yang sepatutnya berakhir pada Selasa dilanjutkan bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kes itu.

"Mangsa sekarang di bawah jagaan rumah perlindungan kes penganiayaan di Kedutaan Indonesia," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas keadaan mangsa kerana pihaknya belum menerima laporan perubatan daripada Hospital Sungai Buloh.

Suspek yang juga majikan mangsa berusia 40 tahun, sebelum ini direman empat hari selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 9 Ogos.

Khamis lepas, Maria Roberta Sain, 30, bertindak melarikan diri dari rumah majikannya selepas mendakwa menjadi mangsa dera sejak lapan bulan lalu dan membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya dengan bantuan orang awam.

Wanita itu mendakwa dia dipukul menggunakan tangan, kaki dan objek seperti berus lantai. - BERNAMA

Artikel Lain