suria

Saya Hanya Setuju Untuk Diwawancara: Pak Lah

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan bahawa penerbitan buku bertajuk Awakening: The Abdullah Years In Malaysia tiada kaitan dengan beliau melainkan pembabitannya dalam wawancara bersama penulis buku tersebut.

"Buku itu bukan ditulis oleh saya. Ia adalah susunan beberapa artikel dari pelbagai penulis yang disusun oleh Prof Bridget Welsh dan Prof James UH Chin.

"Beberapa artikel dikhabarkan berbentuk positif, kebanyakannya negatif dan kritikal.

"Saya tidak menaja atau menyokong buku itu atau meminta ia untuk diterbitkan.

"Adalah normal untuk ahli akademik untuk menganalisis sejarah politik di negara ini dan saya tidak boleh terlepas daripada kajian ilmiah. Saya hanya bersetuju untuk diwawancara jadi pendapat dan penjelasan saya dimasukkan di dalam buku tersebut.

"Saya tidak merancang untuk menghadiri pelancaran buku berkenaan kerana tidak mahu orang ramai membuat andaian buku tersebut ditulis atau ditaja oleh saya. Saya hanya menjawab soalan yang ditanya.

"Berita yang mengatakan pemimpin daripada parti pembangkang dijemput melancarkan buku ini di Singapura, kalau pun benar, adalah keputusan penerbit buku, bukan saya," kata bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia mencetuskan kontroversi selepas beberapa kandungannya dilihat menjurus kepada kritikan mengenai hubungan Abdullah dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lebih mengejutkan apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar akan melancarkan buku tersebut di Singapura.

Namun, Abdullah menegaskan beliau tidak menyesal dengan wawancara itu.

"Suka atau tidak, setuju atau tidak, saya berpegang kepada prinsip keterbukaan sebagai paksi demokrasi yang matang. Walaupun dimaklumkan buku itu bakal memuatkan rencana yang kritis dan kurang menyenangkan tentang kepemimpinannya, namun beliau tetap bersetuju diwawancara atas semangat keterbukaan," katanya.

Artikel Lain