suria

Bakal Duta AS Ke Malaysia Yakin Perkukuh Hubungan Dua Hala

KUALA LUMPUR: Joseph Yun, bakal duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia berkeyakinan dapat memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-AS termasuk dalam bidang kerjasama baharu.

Dalam testimoninya di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat di Washington baru-baru ini, Yun melahirkan komitmen untuk membawa hubungan dua hala kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi.

Pada Jun, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mencalonkan anak kelahiran Korea Selatan itu yang mesra dengan panggilan Joe Yun sebagai perwakilan baharu AS ke Malaysia, menggantikan Datuk Paul W. Jones yang tamat tempoh tiga tahun perkhidmatannya pada hujung bulan lepas.

Yun percaya kedua-dua negara akan beroleh banyak manfaat menerusi perluasan perdagangan dan pelaburan, pertukaran antara rakyat dan kerjasama lebih mendalam dalam pelbagai isu termasuk perubahan iklim, keselamatan tenaga, cegah keganasan dan pengawalan senjata nuklear.

Beliau juga menyifatkan pencalonannya itu sebagai sangat bermakna kerana beliau telah menumpukan 27 tahun daripada perkhidmatannya mempromosikan kepentingan Amerika, kebanyakannya di Asia.

"Malaysia merupakan rakan kongsi yang sangat penting kepada Amerika Syarikat. Kami juga teruja Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Keusahawanan Global pada Oktober ini.

"Inisiatif penting ini akan memberi tenaga, mengupayakan dan menghubungkan usahawan dari seluruh rantau dan dunia," katanya dalam testimoni yang dipapar pada laman sesawang Kedutaan AS.

Sidang kemuncak itu yang merupakan inisiatif Obama pada 2010 akan diadakan di Malaysia dari 11 hingga 12 Okt ini yang turut mencipta sejarah kunjungan pertama presiden AS ke Malaysia dalam tempoh 45 tahun.

Yun berkata hubungan rakyat antara kedua-dua negara juga dicerminkan menerusi peningkatan pelawat Malaysia ke AS.

"Sejak tahun fiskal 2010, terdapat peningkatan 23 peratus dalam bilangan rakyat Malaysia yang memohon visa (pelancong, pelajar dan kerja) ke AS dan peningkatan itu meliputi semua kumpulan etnik di negara itu," katanya.

Beliau juga berharap untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas pertama AS-Malaysia menerusi Perkongsian Trans Pasifik (TPP).

"Kami melibatkan semua rakan kongsi TPP termasuk Malaysia untuk menyatakan komitmen bagi memeterai perjanjian berstandard tinggi yang memperluaskan akses kepada pasaran dan pewujudan peraturan yang sama bagi persaingan sama rata," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain