suria

Lelaki Terselamat Selepas Ditembak Empat Kali

IPOH: Seorang lelaki berusia 29 tahun terselamat walaupun ditembak empat kali ketika dia berada dalam keretanya, Hyudai Atos oleh dua penyerang yang menaiki motosikal berhampiran Taman Klebang Putra di Chemor lewat malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata ketika kejadian berlaku lelaki berkenaan sedang memandu kereta di kawasan perumahan apabila dua penyerang berkenaan tiba-tiba menghampiri kenderaan mangsa dan melepaskan sekurang-kurangnya enam das tembakan pada kira-kira pukul 11.15 malam.

"Lelaki itu sedang memandu bersama dua orang lagi yang dipercayai ahli keluarga mangsa di dalam kereta.

"Dua lagi individu tidak mengalami sebarang kecederaan ketika kejadian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya di balai polis Pekan Baru pada pagi Khamis.

Sum berkata polis telah menemui enam kelongsong peluru di tempat kejadian berlaku.

"Penyerang berkenaan memakai helmet menutup muka penuh dan tidak ada siapa yang dapat mengenalpasti wajah suspek.

"Mangsa dihantar di hospital selepas mengalami kecederaan dan kini dia berada dalam keadaan stabil dan tidak kritikal," katanya.

Sum berkata mangsa dipercayai bukan berasal dari Ipoh, dan namun punca sebenar kejadian tersebut masih disiasat.

"Mangsa belum bersedia untuk bercakap dan kita akan mengambil sedikit kenyataan daripada beliau selepas ini," katanya.

"Kita hanya menerima satu laporan polis yang dibuat oleh saksi setakat ini," tambahnya.

Artikel Lain