suria

Kerajaan Bincang SOP CSR Syarikat Penerbangan Hujung Bulan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tempatan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan, hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata usaha ini bagi mengelak insiden penumpang terkandas di luar negara tidak diberi layanan sewajarnya seperti bantuan pengangkutan, penginapan dan makanan oleh syarikat penerbangan.

"Kementerian memandang serius beberapa insiden membabitkan syarikat penerbangan tempatan yang tidak memberi keutamaan kepada pelaksanaan CSR kepada penumpang terutamanya ketika berada di luar negara," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Chiw Tiang Chai pada persidangan Dewan Negara di sini Isnin.

Abdul Aziz berkata kementerian sentiasa mengingatkan syarikat penerbangan tempatan untuk menunaikan CSR kepada penumpangnya.

"Kementerian akan memastikan syarikat-syarikat penerbangan melaksanakan CSR terutamanya kepada penumpang yang terkandas di luar negara atas faktor kesihatan yang boleh membahayakan penumpang lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain