suria

Kempen P/Raya Kecil Kuala Besut Dicemari Insiden Bakar Bendera Parti

KUALA BESUT: Kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut yang masuk hari keempat dicemari dengan kejadian membakar bendera parti awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan PAS di bulatan Kampung Lampur.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kuala Besut pada pukul 5.51 pagi, katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan para penyokong parti supaya menjalankan kempen secara professional dan berhemah dengan tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap pihak lawan.

Perbuatan seperti membakar, merosak dan menurunkan bendera parti lawan perlu dijauhi bagi mengelakkan suasana tegang yang boleh menyebabkan pergaduhan, katanya.

Kamaruddin mengingatkan mereka supaya sentiasa mematuhi arahan dan undang-undang seperti yang termaktub dalam Akta Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkempen. -BERNAMA

Artikel Lain