suria

Malaysia Runding Mengenai Sempadan Maritim Dengan Singapura

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang dalam proses melaksanakan rundingan bagi membataskan sempadan maritim dengan Singapura membabitkan kawasan di Selat Singapura termasuk antara Pulau Batu Putih dan Batuan Tengah.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin berkata proses rundingan itu dijangka dimulakan tahun ini.

"Malaysia juga sedang membataskan sempadan dengan Thailand dan Vietnam di kawasan Laut China Selatan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Rabu.

Hamzah turut menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas negeri Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sentiasa peka dengan isu tuntutan bertindih dan persempadanan maritim, dan pelbagai usaha sentiasa diambil untuk menyelesaikan isu-isu terbabit termasuk di kawasan Laut China Selatan.

"Rundingan pembatasan sempadan maritim mengambil masa yang panjang kerana banyak faktor yang perlu dipertimbang dan diteliti pada setiap tahap rundingan dan perbincangan meliputi aspek geografi, teknikal dan undang-undang yang kompleks demi memastikan hasil penyelesaian yang muktamad dan saksama," katanya.

Berhubung pergolakan di Mesir, Hamzah berkata Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal negara berdaulat khususnya Mesir yang berpunca daripada masalah dalamannya.

"Dalam konteks krisis di Mesir, kita sebenarnya perlu mengambil iktibar dan pengajaran terutama dari sudut ekonomi negara dan rakyat mereka.

"Sebagaimana pandangan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), perubahan yang tidak diurus dengan baik boleh membawa kemudaratan kepada negara," katanya.

Mengenai isu penindasan terhadap masyarakat Islam di Myanmar, Hamzah berkata kerajaan menggesa negara itu segera menyelesaikan konflik yang berlaku dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

"Kita akan terus mendesak kerajaan Myanmar menggunakan platform Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan keselamatan dan hak golongan minoriti Rohingya terbela.

"Kita juga terbabit dalam draf resolusi mengecam dan mengutuk keganasan serta pencabulan hak asasi manusia di Myanmar menerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk melihat perubahan dalam isu ini," katanya.

Sebagai negara anggota OIC, beliau berkata Malaysia mengambil usaha membangkitkan dan menyuarakan secara aktif isu penindasan itu, yang secara tidak langsung dapat memberi tekanan kepada Myanmar. - BERNAMA

Artikel Lain