suria

Malaysia Komited Kurangkan Jangkitan HIV/AIDS - Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mengurangkan penularan wabak HIV/AIDS di negara ini, yang menyaksikan jumlah kes baharu yang dilapor hanya separuh berbanding sedekad lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pelbagai kaedah proaktif diambil kerajaan dan pihak berkepentingan menyumbang kepada penurunan ketara itu, dengan pada akhir 2012, Malaysia mencatat jumlah terkumpul kes HIV sebanyak 98,279 manakala jumlah penghidap HIV ialah kira-kira 82,000 orang.

"Negara ini mengalami penurunan konsisten dalam kadar tahunan kes baharu HIV iaitu daripada kadar tertinggi sebanyak 28.5 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2002 kepada 11.7 bagi 100,000 penduduk pada 2012," katanya pada sesi pembukaan Persidangan ketujuh Persatuan AIDS Antarabangsa (IAS) berkaitan HIV, Patogenesis, Rawatan dan Pencegahan di sini Ahad.

Persidangan itu dibuka bersama Presiden IAS Profesor Francoise Barre-Sinoussi dan pengerusi bersama tempatannya, Dr Adeeba Kamarulzaman, yang juga Pengarah Pusat Kecemerlangan bagi Penyelidikan berkaitan AIDS (CERiA).

Dr Subramaniam berkata Malaysia komited untuk terus mengurangkan jumlah kes kepada 11 orang bagi 100,000 penduduk menjelang 2015.

"Meskipun kita mempunyai dua tahun setengah lagi, namun kita bangga untuk menyatakan bahawa sasaran ini boleh dicapai dalam tahun ini. Sudah tentu kita mahu melihat penurunan lebih ketara dalam jumlah kes HIV dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga bertujuan mempertingkat perlindungan terapi antiretroviral (ART) untuk pesakit HIV kepada lebih 80 peratus pada 2015.

ART dikenal pasti sebagai satu daripada penyumbang utama yang mengurangkan kematian akibat AIDS sejak sedekad lepas. Ia diperkenal pada 2001 dan membolehkan kerajaan menyediakan ART secara percuma kepada rakyat Malaysia yang menghidap HIV dan pada 2012, kerajaan membelanjakan sejumlah RM59 juta untuk program itu.

Perlindungan ART ketika ini ialah sebanyak 46 peratus.

Dr Subramaniam berkata Malaysia juga berjaya menghalang dan mengurangkan pemindahan menegak penyakit itu daripada ibu kepada anak.

"Kadar pemindahan menegak adalah dua peratus pada 2012 dan kita di landasan yang betul untuk membasmi pemindahan HIV secara menegak dalam tempoh terdekat," katanya.

Dr Subramaniam berkata Malaysia juga akan memfokus kepada pendekatan intervensi bagi jangkitan melalui aktiviti seksual. Beliau berkata kementerian itu juga kini mengkaji Pelan Strategik Nasional berkaitan AIDS bersama pihak berkepentingan yang lain.

Katanya, kerajaan akan terus menggunakan pendidikan serta kesedaran bagi membawa perubahan tingkah laku dalam kalangan penduduk berkaitan jangkitan HIV/AIDS. Kira-Kira 4,700 delegasi yang terdiri daripada saintis dan pihak berkepentingan dari 150 negara menghadiri persidangan empat hari bagi membincangkan rawatan terbaharu serta maklumat terkini wabak itu.

Ini juga merupakan julubng-julung kalinya persidangan dwitahunan berkenaan diadakan di Asia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain