suria

KWSP Tidak Ada Pelaburan Dengan Israel - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Profil pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Israel mahupun sektor pembuatan senjata untuk perang, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Isnin.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata KWSP juga tidak membuat pelaburan dalam sektor perjudian dan arak, selari dengan polisi pelaburan dan mandat etika badan itu.

"Secara dasarnya KWSP tidak mengasingkan pelaburan mengikut agama atau bangsa anggotanya. Pengagihan dividen tahunan juga adalah berdasarkan pendapatan kumulatif daripada instrumen pelaburan Islamik dan konvensional.

"Bagaimanapun KWSP mempunyai garis panduan dan polisi pelaburan yang memenuhi mandat etika dan KWSP tidak membuat pelaburan dalam sektor yang jelas haram dan salah, seperti sektor perjudian dan arak, sektor pembuatan serta penjualan senjata untuk peperangan dan tiada apa-apa kaitan dengan negara Israel," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai jenis pelaburan yang diuruskan badan itu.

Ahmad berkata jumlah pelaburan KWSP setakat suku pertama tahun ini adalah sebanyak RM536.7 bilion, dengan kira-kira 60 peratus daripada jumlah pelaburan dikekalkan dalam instrumen berpendapatan tetap selaras dengan profil risiko dan pulangan badan itu.

Mengenai dana pelaburan syariah KWSP, Ahmad berkata sehingga Mac lepas, 38 peratus daripada jumlah pelaburan KWSP adalah dalam pelaburan berlandaskan syariah.

Katanya KWSP sentiasa memperkembangkan pelaburannya dalam instrumen berlandaskan syariah agar sentiasa dapat diperkembangkan selaras pertumbuhan aset pelaburan serta mematuhi peraturan yang termaktub di bawah Akta KWSP 1991.

Menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) mengenai pelaburan KWSP di luar negara, Ahmad berkata nilai maksimum pelaburan luar negara KWSP ditetapkan tidak melebihi 23 peratus.

"Setakat ini jumlah pelaburan luar negara KWSP adalah pada kadar 18 peratus. Ini bermakna 82 peratus lagi adalah pelaburan dalam negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain