suria

Jerebu: Orang Ramai Dinasihat Tidak Keluar Rumah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sekali lagi menasihati orang ramai supaya tidak menyertai aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan diserang penyakit berpunca daripada jerebu.

Saranan itu dibuat selepas penunjuk perasaan bersedia untuk menyertai perhimpunan 'Black505' di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat berkata, kementerian itu tiada kuasa untuk menghalang orang ramai melakukan aktiviti luar tetapi mengingatkan bahawa mereka boleh berdepan masalah kesihatan ekoran keadaan jerebu yang semakin buruk melanda negara ini.

"Dengan kualiti udara yang terjejas teruk, kami sarankan supaya anda tidak keluar rumah. Mengapa ingin keluar rumah dan mendedahkan diri kepada jerebu terutama mereka yang menghidap masalah pernafasan," katanya selepas merasmikan kempen Immunise4Life di sini.

Pakatan Rakyat yang mengadakan perhimpunan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), berhasrat untuk meneruskan perhimpunan tersebut di Padang Merbok walaupun keadaan jerebu semakin buruk.

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Khamis berkata, mereka tidak melihat sebarang masalah untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Jelasnya, mereka mempunyai lima pasukan perubatan yang berada dalam keadaan sedia di lokasi perhimpunan.

Artikel Lain