suria

Kereta Dipinjam Pasangan Kekasih Disamun Empat Lelaki Berkereta Mewah

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu kini memburu empat suspek lelaki berkereta mewah yang menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun sepasang kekasih di parkir sebuah pasar raya di sini petang Isnin.

Kejadian pada kira-kira 1.15 petang itu berlaku ketika pasangan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam sedang memarkir kereta di kawasan pasar raya berkenaan sebelum didatangi suspek yang seorang daripadanya memakai ves berlogo polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata ketika kejadian, mangsa yang berusia 22 tahun menaiki kereta Subaru kelabu dipinjam daripada rakannya.

Beliau berkata ketika dalam perjalanan, mangsa menyedari mereka diekori sebuah kereta Mercedes biru gelap sehingga ke parkir kereta pasar raya itu.

"Ketika itu suspek yang berbaju ves polis telah mengeluar dan mengacukan pistol ke arah pemandu sebelum beredar," katanya kepada pemberita, Selasa.

Beliau berkata suspek yang mengaku sebagai polis mendakwa kereta dinaiki mangsa sebagai kenderaan curi dan mangsa, yang berasal dari Bukit Payung, Marang, adalah pengedar dadah, menyebabkan mereka terpinga-pinga.

Manoharan berkata suspek, yang berusia lingkungan 20 tahun hingga 30-an kemudian meminta pasangan berkenaan keluar bagi membolehkan beliau melakukan pemeriksaan di dalam kereta sebelum melarikan kenderaan bernombor pendaftaran TAS 4646 itu.

"Mangsa memaklumkan kereta berkenaan dipinjam daripada rakannya semalam, dan siasatan awal kita mendapati kereta berkenaan milik orang Terengganu dan merupakan kereta baharu," katanya.

Beliau berkata selepas menerima laporan itu, pihaknya terus membuat hebahan dan sekatan jalan raya bagi mengesan suspek namun setakat ini, belum berjaya menjejaki mereka.

Manoharan berkata pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395/397 kerana melakukan samun bersenjata. - BERNAMA

Artikel Lain