suria

MB Johor Saran Belia Jadi Rakan Strategik Kerajaan

BATU PAHAT: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyarankan belia di negeri ini supaya menjadi rakan strategik kerajaan dalam menyalurkan input mengenai hala tuju pembangunan negara.

Mohamed Khaled berkata golongan belia semestinya mempunyai pandangan dan kehendak tersendiri untuk bersama kerajaan dalam memacu pertumbuhan negara.

"Sudah tentu dalam membawa pembangunan, kita akan berdepan pelbagai cabaran dan di peringkat belia, mereka mungkin ada pendekatan bagaimana mencari penyelesaian mengatasi cabaran yang dihadapi," katanya semasa berucap pada Himpunan Belia Johor 2013 di Dataran Penggaram, di sini Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan dan Presiden Majlis Belia Johor, Anuar Manap.

Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Permas berkata beliau percaya seluruh belia di Johor mampu menyahut saranan yang diberikan itu demi pembangunan negara yang lebih sejahtera.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan golongan belia supaya terus menguasai ilmu, kemahiran dan pengetahuan supaya dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih menyeluruh.

Tegasnya, sifat 'melabur diri' itu akan menjadikan belia lebih berdaya saing dan berfikiran positif sekali gus menjadikan mereka aset penting dalam masyarakat.

"Jika boleh, mereka perlu naikkan lagi pengiktirafan yang sudah diberikan pelbagai pihak terhadap kemampuan mereka," katanya.

Mohamed Khaled juga berkata, kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM250,000 bagi menganjurkan perhimpunan sama tahun depan, berikutan sambutan menggalakkan tahun ini dengan kehadiran lebih 150,000 pengunjung, sejak tiga hari lepas. - BERNAMA

Artikel Lain