suria

Doktor Didakwa Cabul Ahli Perniagaan

IPOH: Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang ahli perniagaan wanita di Poliklinik Simpang Pulai, pada 22 Mei lepas.

Dr T.A Alagaratnam Sivarajah, 63, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan wanita berumur 50 tahun itu di alamat No. 63, Persiaran Sengat Baru Dua, Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini antara pukul 11.30 pagi dan 12 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa meminta mahkamah mengenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam K. Nahtan yang mewakili Dr Alagaratnam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh sudah mengusahakan kliniknya sejak 18 tahun lalu, selain menetap dan mempunyai keluarga di sini.

Majistret Nur Syafiqah Noorinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain