suria

Trafik Arah Utara Bergerak Perlahan

KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bagi arah selatan bergerak lancar manakala di bahagian utara dilaporkan perlahan.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd berkata di arah utara, trafik bergerak perlahan dari Terowong Menora menuju ke Kuala Kangsar dan dari Slim River menuju ke Sungkai.

Laman Twitter Plus melaporkan berlaku kemalangan di beberapa laluan iaitu di Km 352.9 dari Sungkai menuju ke Bidor pukul 4.48 petang dan di Km 374 dari Behrang menuju ke Slim River pukul 4.52 petang.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula melaporkan trafik bergerak lancar di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur, bagaimanapun, trafik dilapor perlahan dari Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah.

Tiada kemalangan dilaporkan di lebuh raya berkenaan, katanya.

Orang ramai dinasihat mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan Plus Expressways Berhad (Plus) bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena Hari Wesak dan cuti persekolahan, mulai esok hingga 9 Jun ini.

Bagi 23 Mei hingga 9 Jun, waktu perjalanan yang dicadangkan ialah dari Lembah Klang ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang melalui Juru serta Johor melalui Skudai, Senai Utama, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak sebelum 12 tengah hari.

Perjalanan dari Lembah Klang ke Perak Utara melalui Kuala Kangsar, Changkat Jering dan Taiping serta Melaka melalui Jasin dan Ayer Keroh antara 12 tengah hari hingga 3 petang. Dari Lembah Klang ke Perak Tengah melalui Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng serta Melaka melalui Simpang Ampat antara 3 petang hingga 6 petang.

Bagi perjalanan dari Lembah Klang ke Perak Selatan melalui Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim serta Negeri Sembilan melalui Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.

Kenderaan berakhir dengan nombor plat ganjil bagi semua perjalanan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang pula dinasihat memasuki lebuh raya setiap jam ganjil seperti 9 pagi, 1 petang dan 7 malam manakala kenderaan berakhir dengan nombor plat genap dinasihat memulakan perjalanan pada setiap jam genap seperti 10 pagi, 2 petang dan 8 malam.

Bagi perjalanan bebas dari Lembah Klang dinasihatkan bergerak sebelum 9 pagi dan selepas 10 malam.

Sementara itu, bagi perjalanan untuk kembali ke Lembah Klang dari 23 Mei hingga 9 Jun dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Tengah, Johor dan Melaka (melalui Simpang Ampat) untuk pilihan pertama antara 9 pagi hingga 11 pagi manakala untuk pilihan kedua antara 6 petang hingga 8 malam.

Waktu perjalanan ke Lembah Klang yang dicadangkan dari Perak Utara, Perak Selatan, Melaka (melalui Jasin dan Ayer Keroh) dan Negeri Sembilan untuk pilihan pertama antara 2 petang hingga 5 petang manakala untuk pilihan kedua selepas 10 malam.

Semua perjalanan dari utara dan selatan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang bagi kenderaan dengan nombor plat ganjil dinasihat pada setiap jam ganjil manakala kenderaan dengan nombor plat genap pula bermula pada setiap jam genap.

Bagi perjalanan bebas ke Lembah Klang dinasihat bergerak sebelum 9 pagi. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSline 1800-88-0000 atau mengikuti laman Twitter PLUSTrafik. -BERNAMA

Artikel Lain