suria

Kes Curi Motosikal: Pelajar Tingkatan Dua Dan Lima Lelaki Lain Ditahan

BATU PAHAT: Polis menahan seramai enam orang, termasuk pelajar Tingkat Dua dan seorang pelajar berusia 17 tahun yang dibuang sekolah, kerana mempunyai kaitan dengan kes kecurian beberapa motosikal di bandar Parit Sulung dan Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad Said berkata, kedua-dua pelajar itu ditahan di hadapan sekolah menengah di Parit Sulung kira-kira pukul 9.30 pagi pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, polis kemudiannya menahan tiga remaja dan dua lelaki di beberapa lokasi di bandar Parit Sulung, Tongkang Pechah dan Batu Pahat pada hari yang sama.

“Kami menemui tiga motosikal yang dilaporkan dicuri, plat nombor pendaftaran yang palsu, dua enjin motosikal serta badan motosikal di Sungai Sarang Buaya.

“Kumpulan itu mulai aktif sejak Januari tahun ini di kawasan Batu Pahat dan Parit Sulung.

“Mereka beroperasi menerusi dua kumpulan, mencuri (motosikal) menggunakan kunci Allen yang diubahsuai dan menjual motosikal-motosikal itu kepada individu ketiga pada harga antara RM200 dan RM350 sebuah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis di sini, Khamis.

Din berkata, kumpulan itu membuka rangka motosikal, menjual sebahagiannya dan sebahagiannya lagi di buang ke sungai.

Artikel Lain