suria

Barisan Exco Kerajaan Selangor Dijangka Diumum Selasa Depan

KLANG: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, barisan exco kerajaan negeri yang baru akan diumumkan seawal-awalnya dalam tempoh seminggu lagi iaitu pada Selasa depan.

"Proses pemilihan exco telah bermula dan saya akan umumkan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor. (Paling awal) dalam tempoh seminggu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini, Selasa.

Mengenai peruntukan jawatan exco sama ada akan dikekalkan atau bakal berlaku perubahan, Abdul Khalid berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum boleh dibuat pengumuman bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

Ditanya adakah terdapat muka-muka baru dalam senarai barisan exco, Abdul Khalid berkata:

"Saya dah berjanji dengan semua orang yang saya bincangkan itu (senarai exco) untuk tidak akan mengumumkan kepada awam sehingga selesai (perbincangan).

“Itu pun akujanji saya jadi semua orang tidak boleh buat kenyataan sehingga (pemilihan) selesai,” katanya.

Sementara itu, mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali disebut-sebut antara yang akan menyertai barisan exco kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata, perkara tersebut hanya spekulasi dan tidak boleh diperbincangkan.

“Itu tak boleh kita bincangkan sebab-sebab spekulasi,” tegas beliau.

Dilaporkan, Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan antara yang menyokong Abdul Khalid supaya kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, pada sidang media Jumaat lalu, Azmin tanpa berselindung menyalahkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana menghantar senarai calon Menteri Besar kepada Istana Selangor pada Khamis tanpa mendapat persetujuan dan konsensus barisan kepimpinan PKR Selangor, termasuk beliau.

Artikel Lain