suria

Guru Sekolah Agama di Johor Perlu Diberi Perhatian - Anuar Abd Manap

SEGAMAT: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sekijang Anuar Abd Manap, 36, menganggap perhatian perlu diberikan kepada guru-guru sekolah agama di Johor agar setaraf dengan guru di sekolah harian.

Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Felda berkata tenaga pengajar itu tidak boleh dipinggirkan dan perlu diberi kursus yang sewajarnya agar kaedah pengajaran mengikut satu standard tertentu.

"Sekiranya saya diberi mandat, saya akan usulkan di Parlimen supaya guru-guru sekolah agama diberi kemudahan pengajaran yang sama dengan guru biasa," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Anuar berkata ia bagi memberi tranformasi baharu kepada warga sekolah agama di negeri itu seterusnya memberikan impak kepada pendidikan agama di kawasan tersebut.

Katanya, perubahan yang bakal dibawa kepada sekolah-sekolah agama di kawasan itu dapat terus memartabatkan negeri Johor sebagai negeri contoh yang mempunyai keseragaman sekolah agama.

Sementara itu, kempen yang berbaki beberapa hari sahaja lagi dimanfaat sepenuhnya dengan mendekati seberapa ramai pengundi di kawasan tersebut.

Menurutnya, pendekatan melalui meletakkan diri dalam kumpulan dan golongan tertentu sedikit sebanyak mampu melembutkan hati pengundi baru untuk menerima kehadirannya.

"Pengundi warga emas atau dipanggil saluran satu tiada masalah kerana mereka pengundi tegar, yang penting ialah bagaimana untuk menarik seramai mungkin pengundi golongan muda.

"Saya boleh katakan tiada masalah di kawasan Felda, hanya di bandar-bandar agak sukar sedikit kerana lebih ramai pengundi bukan Melayu," ujarnya.

Bagaimanapun, dia yakin beberapa hari terakhir ini, dia mampu merayu dan meyakinkan pengundi untuk mengekalkan kerajaan yang terbaik untuk mereka.

Dalam perkembangan lain, Kumpulan Felda Ventures Holdings (FGVH) pada Selasa turut menyumbangkan RM 5,000 sebagai bantuan pembangunan Sekolah Agama Felda Kemelah di sini.

Sumbangan itu disampaikan Presidennya Datuk Sabri Ahmad yang seterusnya mengumumkan penyenaraian sekolah tersebut sebagai salah sebuah sekolah angkat FGVH.

Seramai 20 pelajar sekolah tersebut menerima sijil dan sumbangan wang sebagai token kecemerlangan dalam tiga peperiksaan peringkat sekolah agama itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain