suria

Masyarakat Cina Diseru Beri Mandat Penuh Kepada PM - Muhyiddin

ALOR SETAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru masyarakat Cina terutama di Kedah agar menolak pembangkang dan memberi mandat penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu mentadbir Kedah dengan lebih baik berbanding kerajaan PAS yang tidak mendatangkan perubahan dan DAP yang hanya membangkitkan isu-isu perkauman.

"Saya mahu tanya rakyat Cina Kedah, apa Azizan (Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak) buat untuk bangsa Cina di Kedah, cuba beritahu saya, apa ekonomi dia buat, mana sekolah Cina dia buat? "Saya mahu tanya rakyat Kedah, mahu sokong Azizan atau tidak, atau mahu beri sokongan kepada Datuk Bashah (Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah) dan Datuk Mukhriz (Timbalan Pengerusi BN Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir) dari BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Program Sentuhan Kasih di Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) di sini malam Sabtu. Muhyiddin menasihati masyarakat Cina kedah supaya tidak mempercayai propaganda pembangkang yang mengatakan BN akan menutup sekolah-sekolah Cina sekiranya berjaya memerintah.

"Kami (BN) sebenarnya memberi perhatian lebih kepada sekolah Cina dan sekolah India, kita boleh lihat sudah 56 tahun BN mentadbir, tidak ada satu sekolah Cina pun ditutup

"Ini kali pertama Najib minta mandat untuk terus memimpin negara demi masa depan yang cemerlang," katanya.

Sehingga kini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sebanyak 1,300 sekolah jenis kebangsaan Cina dan 600 sekolah Tamil ditubuhkan di seluruh negara.

Kerajaan persekutuan juga telah memperuntukkan sejumlah RM1.8 bilion setahun untuk membayar gaji guru di sekolah Cina manakala RM600 juta diperuntukkan untuk membayar gaji guru di sekolah Tamil.

"Jadi lebih RM2 bilion bantuan gaji berkapita, bil air dan api yang disediakan oleh BN, kami bukan janji kosong, BN tepati janji," katanya.

Pada majlis itu, lebih 1,000 masyarakat Cina memenuhi dewan Sekolah Keat Hwa untuk makan malam bersama Muhyiddin. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain