suria

Belum Ada Tangkapan Kes Kebakaran Bilik Gerakan BN di Sekinchan - Polis

SHAH ALAM: Belum ada tangkapan dibuat setakat ini berhubung kejadian kebakaran Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya umum ke-13 (PRU13) di Sungai Leman Sekinchan, yang dipercayai akibat dibaling dengan bom petrol dua hari lepas, kata Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kontinjen Selangor SAC Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata kejadian itu lebih menjurus kepada jenayah dan tidak sampai ke tahap keganasan sebagaimana digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang melihat kejadian itu sebagai satu trend keganasan di dalam pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun beliau berharap orang ramai segera menghubungi pihak polis jika mereka melihat orang-orang yang tidak dikenali dan mencurigakan di kawasan mereka, terutamanya berhampiran tempat kempen politik berlangsung.

Sejak hari penamaan calon pada 20 April lepas hingga semalam, Hasanudin berkata pihaknya telah menerima 94 laporan polis berkaitan pilihan raya dan setakat ini sebahagian daripada 42 kes yang sudah disiasat telah diserahkan kepada agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Selain itu ada satu kes ugutuan bunuh berkaitan politik telah dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, semalam, katanya . Hasanudin turut berterima kasih kepada parti-parti politik di Selangor kerana kebanyakan mereka telah memohon permit terlebih dahulu sebelum mengadakan ceramah politik dan cuma sejumlah kecil yang tidak berbuat demikian mungkin kerana kesuntukan masa.

Setakat semalam sebanyak 753 ceramah dan 428 aktiviti politik telah direkodkan di Selangor, katanya.

Beliau berkata bila penganjur ceramah-ceramah politik meminta permit pihak polis akan memantau lokasi untuk keselamatan awam dan tidak menggalakkan dua ceramah politik berlangsung serentak dalam jarak berdekatan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. -BERNAMA

Artikel Lain