suria

Keputusan Che Johan Beri Peluang Lebih Besar Untuk PR Tawan Putrajaya - PAS

PASIR MAS: Keputusan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa yang tidak menyerahkan kertas pencalonannya pada hari penamaan calon Sabtu lepas disifatkan sebagai peluang lebih besar kepada usaha Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Penyelaras Pilihan Raya PAS Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahmad berkata, tindakan Che Johan itu menyebabkan BN kehilangan satu kerusi Parlimen di Kelantan serta-merta.

"Tanpa Che Johan (bertanding pada PRU-13), kita sekarang mempunyai peluang lebih baik untuk mengambil alih Putrajaya. Beliau membuatkan ia sebagai jalan lebih mudah untuk kita mengambil alih Kerajaan Persekutuan," katanya ketika berucap di Mini Stadium Pasir Mas di sini, malam Isnin.

Dilaporkan bahawa tindakan Che Johan yang tidak menyerahkan kertas pencalonannya sekali gus menarik diri daripada bertanding pada PRU-13 menyebabkan pertembungan satu lawan satu antara Ibrahim sebagai calon Bebas dan calon PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang merupakan anak kepada Mursyidul Am parti, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, Hanifah berkata, beliau menggesa Umno untuk mengenakan tindakan tegas terhadap Che Johan yang menyebabkan BN kehilangan satu kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU-13.

Menurut Hanifah yang juga calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir menyifatkan Nik Abduh sebagai wakil pembangkang yang layak untuk menentang Ibrahim yang merupakan penyandang kerusi Pasir Mas.

"Kita (PAS) pernah berkempen untuk Ibrahim pada pilihan raya umum yang lepas (2008) dan beliau menang kerana para penyokong kita mengundi beliau.

"Tetapi sekarang ia (usaha) perlu dibayar balik. Saya yakin rakyat pada kali ini akan memilih Nik Abduh untuk mewakili PAS di Parlimen ini (Pasir Mas)," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas, menewaskan Ahmad Rosdi Mahmad dari BN dengan majoriti 8,991 undi.

Artikel Lain