suria

Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Khianati Bendera BN, Umno

KANGAR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis terhadap pertuduhan melakukan khianat terhadap beberapa bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno di Abi dekat sini pada Isnin lepas.

Azhari Abu Bakar@Chik, yang bekerja sendiri dari Kampung Batu 4 dekat sini didakwa mencabut empat helai bendera BN, tiga helai bendera Umno, 17 keping plastik tertera logo BN, dua batang bendera Umno, 24 batang bendera BN dan memotong satu sepanduk BN membabitkan kerugian kira-kira RM25.

Azhari, 48, yang diwakili peguam Asrul Abdul Halim didakwa melakukan kesalahan itu bersama sembilan lagi yang masih bebas di hadapan Bilik Gerakan BN cawangan Abi pada 8.45 malam, 15 April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Tarmizi Nik Mohd Syukri membenarkan tertuduh dikat jamin RM2,500 dan menetapkan 31 Mei 2013 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan Perlis Azhar Mokhtar. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain