suria

Pulau Pinang Lancar Manifesto PRU-13

BAYAN BARU: Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP dilihat hanya menawarkan kira-kira 20 peratus perkara baru dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei nanti.

Selebihnya kandungan manifesto bertemakan 'bersih, hijau, sihat dan selamat' itu hanya menampilkan tawaran lama sama ada yang sedang dan telah dilaksanakan sejak menerajui kerajaan negeri pada 2008.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika membentangkan manifesto tersebut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan terus mempertingkatkan tadbir urus Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) di semua peringkat kerajaan.

Selain itu bagi mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi Lim yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan untuk menjadikan negeri ini sebagai Pusat Halal Global serta mewujudkan Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Hijau di Batu Kawan.

"Sementara itu bagi meningkatkan pembangunan sektor perlancongan kita akan membangunkan Balik Pulau dan Batu Kawan sebagai resort warisan eko.

"Kita juga akan merancang pembinaan sistem trem di seluruh negeri dan teksi air dalam pelan induk pengangkutan negeri bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas," katanya pada majlis pelancaran manifesto Pulau Pinang PRU-13 di sini, Isnin.

Bagi tujuan yang sama, kerajaan negeri juga merancang untuk melaksanakan projek terowong dasar laut dan tiga lebuhraya bernilai RM6.3 juta.

Sementara itu katanya kerajaan akan meneruskan Tabung Perumahan Mampu Milik sebanyak RM500 juta dan membina 22,000 unit rumah mampu milik di George Town, Teluk Kumbar, Butterworth, Bukit Mertajam, Batu Kawan dan Juru.

Sebelum ini banyak pihak mempertikaikan kegagalan kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik termasuk isu penjualan perumahan rakyat di Taman Manggis.

Bagi memartabatkan Islam di negeri ini, Lim mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya akan menubuhkan sebuah Hospital Islam berkonsepkan wakaf di bawah Yayasan Islam Pulau Pinang.

"Kita juga akan memberi tanah untuk pembangunan surau, tanah perkuburan Islam dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)," katanya.

Bagi menarik perhatian masyarakat bukan Islam, Lim berkata kerajaan negeri akan memantapkan Lembaga Wakaf Hindu dan menambah zon rumah ibadat bukan Islam di penempatan baru mengikut keperluan.

Artikel Lain