suria

BN Yakin Menang Lebih 160 Kerusi Parlimen

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional yakin menang lebih 160 kerusi parlimen berikutan masalah pengagihan kerusi oleh pakatan pembangkang.

Ketua Penerangan dan Publisiti BN Datuk Ahmad Maslan pada Sabtu berkata berdasarkan pemerhatian terkini, 15 kerusi parlimen termasuk empat di Sarawak mengalami masalah dan tidak mustahil pembangkang meletakkan lebih dari satu calon di kawasan-kawasan itu.

Selain itu, beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan juga menjadi tarikan kepada rakyat, di samping manifesto BN yang menyakinkan.

Menyentuh mengenai kempen BN secara keseluruhannya, beliau berkata sebanyak 66,600 ceramah akan diadakan di seluruh negara sepanjang 15 hari tempoh berkempen mulai 20 April.

"Itu yang disyor BN pusat. Apa yang berlaku di bawah mungkin lebih mengikut keperluan di sesuatu kawasan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua penerangan parti komponen BN dan rakan BN, di sini.

Beliau berkata manifesto pilihan raya BN akan diterbitkan dalam enam bahasa meliputi Bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin, Iban dan Kadazan.

Katanya, 5,000 penceramah bebas dilatih untuk memberi penerangan terperinci 17 bidang yang terkandung dalam aku janji itu. - BERNAMA

Artikel Lain