suria

Penjawat Awam Didakwa Ugut Pesara

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa, atas pertuduhan mengugut seorang pesara dua tahun lepas.

Mohd Sanny Mohd Rashid, 35, didakwa mengugut dengan mengancam hendak mendatangkan cedera dan bunuh kepada Awang Safrah, 72, menggunakan kerusi di sebuah restoran di Jalan 13/2A, Taman Wilayah Selayang, Sentul di sini pada 3 petang, 17 Jun 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Sanny juga didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu mengugut dengan mengancam hendak mendatangkan cedera dan bunuh kepada Awang menggunakan pisau di dalam kereta di tempat, masa dan tarikh sama.

Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala tertuduh diwakili peguam T. Jayadeva. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain