suria

Terengganu, Pahang, Serah Notis Pembubaran Kepada SPR Negeri

KUALA TERENGGANU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang pada Khamis menyerahkan notis pembubaran DUN Terengganu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Terengganu.

Tengku Putera menyerahkan notis itu kepada Pengarah SPR negeri Fakhrul Razi Ab Wahab di Pejabat Yang DiPertua Wisma Darul Iman di sini, pada pukul 9.20 pagi Khamis.

"Penyerahan itu bagi membolehkan pilihan raya umum negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum parlimen dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13)," katanya kepada pemberita selepas penyerahan notis berkenaan.

Pembubaran DUN Terengganu diumum Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pada satu majlis di Sura, Dungun malam Rabu, selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 8 malam.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen.

Pada PRU 2008, Barisan Nasional Terengganu menang dengan majoriti dua pertiga. PAS hanya menang lapan kerusi DUN selain dua kerusi parlimen termasuk satu dimenangi pada pilihan raya kecil pada 17 Januari 2009.

Di KUANTAN, Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Pahang pada Khamis menerima watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandatangani Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Watikah itu disampaikan Setiausaha DUN Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abd Rahmad kepada Pengarah SPR Pahang Othman Noh pada pukul 11.30 pagi.

Othman berkata tindakan selanjutnya watikah itu dihantar kepada SPR Putrajaya.

Beliau berkata seramai 14,396 orang akan ditugaskan pejabat SPR negeri di seluruh Pahang yang mempunyai 561 pusat mengundi termasuk 44 pusat mengundi awal.

Beliau berkata semua peralatan persiapan menghadapi pilihan raya telah dihantar kepada semua pegawai pengurus kecuali kertas undi dan dakwat kekal.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi DUN. Pada pilihan raya umum 2008, B Nmemenangi 37 kerusi, dua DAP, dua PAS dan satu Bebas.

Calon Bebas di kawasan DU NTanah Rata, Ho Yip Kap, kemudian menyertai parti Gerakan. PAS menang dua kerusi DUN iaitu di Beserah dan Kuala Semantan, DAP (dua) di Tras dan Triang sementara bagi kerusi Parlimen, BN tewas dua daripada 14 kerusi parlimen Kuantan dan Indera Mahkota. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain