suria

Enam DUN Dibubar Pada Hari Pembubaran Dewan Rakyat

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menjawab soalan pemberita di hadapan Istana Mahkota selepas mengadap Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Kuantan, malam Rabu. Pahang menjadi negeri terakhir membubarkan DUN pada hari yang sama pembubaran Dewan Rakyat -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembubaran Dewan Rakyat pada Rabu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diikuti dengan pembubaran enam Dewan Undangan Negeri yang dikuasai Barisan Nasional setakat pukul 11.45 malam Rabu.

Dengan pembubaran DUN di negeri-negeri itu, hanya satu daripada lapan negeri yang dikuasai BN dan yang akan terlibat dalam PRU-13 ini iaitu Johor, yang belum membubarkan DUNnya dan dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

DUN Negeri Sembilan yang juga dikuasai BN telah terbubar secara sendiri pada 28 Mac lalu.

Negeri-negeri lain yang dikuasai parti-parti politik dalam pakatan pembangkang dijangka membubarkan DUN masing-masing dalam tempoh terdekat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU-13 secara serentak.

Selepas pembubaran Dewan Rakyat, Perlis merupakan negeri pertama membubarkan DUN diikuti Sabah, Melaka, Perak, Terengganu dan Pahang.

Menteri Besar dan Ketua Menteri di empat negeri yang dikuasai parti politik dalam pakatan pembangkang dijangka bermesyuarat esok bagi sebelum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob merupakan yang terakhir mengumumkan pembubaran DUN pada Rabu, kepada pemberita di Kuantan pada pukul 11.45 malam Rabu.

Pembubaran DUN Pahang yang berkuat kuasa hari ini, dibuat setelah beliau mendapat perkenan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, yang menerima menghadap beliau di Istana Mahkota, Kuantan pada pukul 10.40 malam.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pula mengumumkan pembubaran DUN Terengganu berkuat kuasa Rabu, kepada pemberita pada pukul 10 malam ini setelah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan pembubaran itu pada malam Rabu.

Di George Town, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran DUN selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pukul 9.30 pagi Khamis.

Di Kota Baharu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata DUN Kelantan akan tetap dibubar sejajar dengan pembubaran Dewan Rakyat dan beliau tidak akan mengubah perkara itu walaupun kerajaan negeri masih boleh menangguh pembubaran itu.

Nik Abdul Aziz dijadual menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Telipot di sini malam Khamis bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran DUN Kelantan.

Sebelum itu beliau akan menghadiri mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Selangor petang Khamis.

Di Alor Setar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau akan menghadap Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Khamis berhubung urusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Selepas itu barulah beliau akan menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di sini bagi memohon perkenan untuk membubarkan DUN. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain