suria

Anggota Polis Cedera Dipukul Enam Lelaki

KEPALA BATAS: Seorang konstabel polis yang sedang beratur membeli makanan di sebuah kedai nasi kandar di Kampung Benggali, Butterworth dekat sini cedera dipukul enam lelaki dalam satu kejadian awal pagi 25 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kejadian pada 2.45 pagi itu berlaku apabila seorang daripada enam lelaki berusia 18 hingga 28 tahun itu bertindak memaki hamun anggota polis itu yang bertugas di Balai Polis Butterworth dan memakai pakaian biasa serta tidak bekerja ekoran cuti sakit.

"Ketika sedang beratur untuk membeli makanan, beliau didatangi enam lelaki terbabit sebelum mereka bertindak memaki hamunnya termasuk mencabar polis dengan berkata 'you anggota polis ka, kalau ada pistol you tembaklah saya'," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Beliau berkata anggota polis berusia 25 tahun itu yang tidak mengenali kumpulan lelaki berkenaan bertanya apa yang mereka tidak puas hati terhadapnya.

"Mereka terus memaki hamun dan menghina mangsa serta pasukan polis sebelum bertindak memukul dia menggunakan topi keledar. Orang ramai yang berada di situ tidak berani membantu berikutan kumpulan itu memberi amaran jangan masuk campur," katanya.

Abdul Rahman berkata ketika berlaku kekecohan itu, anggota terbabit sempat menghubungi bilik gerakan dan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian serta berjaya menahan empat lelaki berkenaan.

Katanya dua lagi berjaya melarikan diri selepas kejadian, bagaimanapun seorang daripadanya ditahan pada Isnin di Butterworth.

"Mangsa yang bertugas dalam pasukan polis sejak empat tahun lepas itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. Dia mengalami kecederaan di tangan kiri, mulut, badan dan lebam di mata serta muka," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan lelaki yang memukul mangsa mengenalinya sebagai anggota polis dan mereka bertindak sedemikian berikutan marahkan pasukan polis.

Abdul Rahman berkata lima lelaki yang ditahan itu juga mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau antaranya berkaitan curi, dadah, samun dan pecah rumah.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan.

"Saya nasihatkan orang ramai agar menghormati anggota keselamatan dan jika ada yang tidak berpuas hati mereka boleh datang ke pejabat saya untuk membuat aduan dan bukan begini caranya untuk selesaikan (memukul anggota polis)," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata hasil tindakan pantas orang ramai memaklumkan kejadian samun melibatkan seorang wanita berusia 51 tahun di Taman Merbau, Butterworth dekat sini berjaya membantu polis menahan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian berkenaan tidak sampai enam jam.

Katanya dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan di Bagan Ajam dan polis menemui semula seutas rantai emas milik mangsa yang disamun mereka dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi, semalam.

"Kejadian samun itu berlaku di hadapan rumah mangsa dan disedari beberapa jirannya yang terus memaklumkan kepada polis. Kita menjejaki dua lelaki terbabit menerusi nombor pendaftaran motosikal milik seorang daripada mereka yang berjaya dicam oleh jiran mangsa," katanya.

Katanya mereka yang mempunyai rekod jenayah itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain