suria

UPP Kedah Rampas 200 Guni Benih Kerang Cuba Diselup Bernilai RM78,000

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP)Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar 200 guni benih kerang ke Thailand bernilai RM78,000 di Taman Gemilang, Jitra awal pagi Isnin.

Komander UPP Kedah Abdul Latif Rahman berkata sepasukan anggotanya menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki berusia 32 dan 38 tahun pada kira-kira 4 pagi, dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Petani ke pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori tiga tan yang ditutup kanvas itu menemui 200 guni berisi benih kerang dipercayai diperoleh dari Pantai Remis, Perak.

"Modus operandi mereka adalah guna jalan biasa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Kemudian bila mereka sampai di Bukit Kayu Hitam, mereka akan punggah benih kerang ini ke dalam kereta untuk diseludup keluar ke Thailand.

"Mereka guna kereta lama yang sudah uzur untuk membawa muatan tersebut dan turut ambil kesempatan masuk ke negara jiran awal pagi sewaktu pintu pagar sempadan kedua-dua negara mula dibuka," katanya pada sidang akhbar di Pejabat UPP Bukit Kayu Hitam pada Isnin.

Abdul Latif berkata suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan berasal dari Changlun serta Kodiang itu dipercayai mengambil upah menghantar benih berkenaan kepada seseorang yang menunggu di pintu sempadan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki telah empat kali melakukan kegiatan itu dengan upah sekitar RM6,000 jika berjaya menyeludup keluar benih kerang berkenaan.

"Setiap guni benih kerang bernilai RM390 dan apabila dijual di Thailand, ia akan meningkat dua kali ganda kerana mendapat permintaan yang tinggi," katanya.

Abdul Latif berkata kes itu akan diserah kepada Jabatan Perikanan negeri dan tindakan diambil mengikut Seksyen 9(2) Penjualan/Pembekalan Benih Kerang iaitu tiada lesen membawa benih kerang dan tempat di mana hendak dilepaskan. -BERNAMA

Artikel Lain