suria

Dadah Dari India Bernilai RM500,000 Cuba Diseludup

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM)Sabah menumpaskan cubaan menyeludup dadah yang dianggar bernilai RM500,000 menerusi Lapangan Terbang Tawau.

Pengarah KDRM Sabah Datuk Janathan Kandok berkata sehubungan itu seorang rakyat Malaysia berumur 34 tahun ditahan sebaik tiba di ruang pemeriksaan bagasi kira-kira pukul 2.35 petang Isnin lalu.

Turut dirampas daripadanya sejumlah mata wang India sebanyak Rp7,900 dan RM600 serta tiga telefon bimbit.

Beliau berkata dadah jenis ketamin seberat 14.106kg itu dirampas semasa pemeriksaan dilakukan ke atas tiga beg suspek yang telah diubah suai.

Janathan berkata suspek didapati transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Tawau.

"Siasatan mendapati trend atau teknik penyeludup dadah akhir-akhir ini ialah menggunakan lapangan terbang tempatan dari KLIA," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain