suria

Kami Kehilangan Seorang Teman, Mentor dan Penulis Sejati...

Allahyarham Zainon Ahmad...wartawan dan penulis sejati
Allahyarham Zainon Ahmad...wartawan dan penulis sejati
Allahyarham Zainon Ahmad...wartawan dan penulis sejati

DUNIA kewartawanan telah kehilangan seorang teman, guru dan penulis sejati yang bernama Zainon Ahmad (gambar) atau lebih dikenali di kalangan kami semua sebagai Pak Non pada Rabu, 27 Mac.

Pak Non, 70, meninggal dunia di Kota Bharu, Kelantan.

Pemergian Pak Non ke sana untuk menziarahi anak perempuannya menjadikan ramai rakan dan taulan tidak sempat dan tidak berpeluang memberikan penghormatan terakhir kepadanya.

Beliau adalah wartawan tulen dan sejati. Walaupun telah menjangkaui usia persaraan, Pak Non masih lagi berkhidmat sebagai pengarang perunding dengan akhbar The Sun.

Dan beliau tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dengan wartawan-wartawan muda malah tidak berasa sombong atau angkuh untuk duduk semeja dengan kami yang jauh lebih muda dan kurang pengalaman berbanding dengannya.

Pendek kata, Pak Non adalah contoh seorang mentor dan guru yang sebenar. Dan beliau mengakhiri hayatnya masih sebagai seorang wartawan, pemerhati, pengkritik dan penulis.

Penulis sendiri kali terakhir bertemu dengan Pak Non ialah ketika berlangsungnya majlis perkahwinan Datuk Lee Chong Wie di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat, 9 November tahun lalu.

Kami duduk semeja dan bersebelahan. Pak Non datang bersama isterinya.

Dalam pertemuan itu kami berbual tentang banyak perkara, daripada makanan, penubuhan majlis media kebangsaan yang diperjuangkannya dan tidak juga menjadi kenyataan sehingga beliau meninggal dunia sehinggalah kepada isu-isu politik semasa.

Sebelum kami berpisah pada malam itu Pak Non telah meminta penulis supaya mengaturkan pertemuan antara kami dengan seorang kawan lama yang juga anak didiknya, iaitu Wan Hamidi Hamid - bekas wartawan the New Straits Times, The Star dan kini Ketua Pengarang Roket - lidah rasmi DAP.

Pak Non mahu mendapatkan gambaran dari dekat tentang perkembangan terkini DAP sebelum pilihan raya umum.

Selang beberapa minggu kemudian penulis mengirim sms kepada Pak Non memaklumkan yang pertemuan yang dirancang itu terpaksa ditunda kerana Hamidi sibuk dengan Kongres Kebangsaan DAP di Pulau Pinang.

Sehari selepas itu Pak Non menjawab ringkas; 'ok'.

Penulis tidak membuat langkah susulan selepas itu kerana sekali lagi sibuk dengan hal-hal lain sehinggalah menerima berita sedih pemergian Pak Non buat selama-lamanya.

Penulis terasa seperti berhutang hajat kepada arwah. Penulis gagal memenuhi hajatnya yang terakhir iaitu untuk bertemu dengan Wan Hamidi.

Malangnya ini bukanlah kali pertama penulis gagal melangsaikan 'hutang' kepada Pak Non.

'Hutang' penulis yang pertama ialah ketika bersama-sama beliau membuat liputan Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September 1992.

Ketika hendak keluar makan malam, penulis gagal mengeluarkan wang dari mesin ATM Citibank di New York. Pak Non menghulurkan AS$100 kepada penulis tanpa banyak soal.

Keesokan harinya, ketika penulis hendak membayar balik wang AS$100 itu, Pak Non enggan menerimanya.

"Ambiklah sebagai hadiah harijadi hang...," kata Pak Non dalam loghat Kedahnya yang pekat.

Pada hari itu, semua rakan wartawan yang dihantar ke New York untuk membuat liputan persidangan PBB telah membeli sekeping kad hari jadi kepada penulis dan menurunkan tanda tangan masing-masing termasuklah Pak Non.

Pak Non, maafkan penulis kerana gagal menunaikan hajat Pak Non. Bersemadilah dengan aman. Kami semua mendoakan moga Pak Non ditempatkan bersama orang-orang yang beriman...Amin.

Artikel Lain