suria

Raja Muda Perlis Mahu Rakyat Sokong Peranan Pasukan Keselamatan

LANGKAWI: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat memberi sokongan padu dan menghargai peranan pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara.

Menurut baginda peristiwa pencerobohan Lahad Datu oleh rakyat asing adalah sebagai contoh terkini yang memperlihatkan pengorbanan besar pasukan keselamatan untuk negara.

Bertitah semasa melawat tapak pameran maritim sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di Awana Porto Malai di sini, baginda bertitah corak peperangan atau konflik masa kini dan akan datang dijangka akan lebih berfokus kepada ancaman bukan tradisional.

Antaranya termasuk keganasan, pencerobohan, jenayah serius seperti membunuh, penyeludupan, perdagangan manusia dan dadah.

"Musuh tidak diketahui tetapi mungkin akan berada bersama kita. Maka perlu sentiasa waspada dan berjaga-jaga akan tindakan oleh elemen subversif ini," titah baginda di hadapan para pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di atas kapal KD Jebat.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah ancaman bukan tradisional memerlukan latihan yang khusus termasuk peperangan asimetrik dan operasi unit kecil.

Semasa lawatan ke atas kapal TLDM termoden itu, baginda diberi taklimat oleh Pegawai memerintah KD Jebat, Kapt Abdul Halim Shaari.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron.

LIMA yang bermula pada Selasa akan berlangsung sehingga 30 Mac. BERNAMA

Artikel Lain