suria

Dua Pembantu Am Rendah Pejabat Tanah Didakwa Terima Rasuah

KUALA TERENGGANU: Dua pembantu am rendah Pejabat Tanah Daerah Besut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas pertuduhan menerima rasuah tahun lepas.

Tuan Faizul Azli Tuan Man, 27, dan Tuan Saifuladli Tuan Mansor, 28, dituduh menerima suapan RM4,000 daripada Ismail Mat Noor, 44, di dua tempat berasingan di daerah Besut.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut fakta kes kedua-dua tertuduh dengan niat bersama telah menipu dan memperdayakan mangsa sehingga mendorongnya menyerahkan wang sebanyak RM2,000 di Felda Keruak, Hulu Besut dan RM2,000 lagi di hadapan Commerce International Merchant Bankers (CIMB) Bank Cawangan Jerteh pada 22 Jun dan 24 Jun tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat, juga boleh dikenakan denda.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu agar dikurangkan jaminan kerana mereka masih menyara keluarga.

Zainal Abidin kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dan menetapkan kes itu disebut semula 22 April ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhamad Auliat Ngah@Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Lain