suria

Dua Warganegara India Didakwa Edar Lebih 10Kg Dadah

KUALA TERENGGANU: Dua warganegara India dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap tuduhan mengedar dadah jenis ketamin lebih 10 kilogram 5 Mac lepas.

Tertuduh, Fazullah Syed Dawood Hussein, 43, dan R. Shanthanalakshmi, 52, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, namun tiada pengakuan direkodkan.

Fazullah didakwa mengedar dadah seberat 5,765 gram di Pejabat Kastam Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada 4.45 petang 5 Mac lepas manakala wanita itu (Shanthanalakshmi) didakwa mengedar 5,080 gram di balai ketibaan LTSM pada 4 petang hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu Zaizul Azli Mohd Zain manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Akma Ramli.

Majistret menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain