suria

Abdul Rahim Yakin KLIA 2 Akan Beroperasi Jun Ini

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri yakin projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) akan siap dan boleh beroperasi awal Jun tahun ini.

Beliau berkata pihak pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) dan pasukan pelaksana bertungkus lumus bekerja siang dan malam untuk memastikan kerja-kerja tersebut siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diberi kepadanya, kerja-kerja pembinaan telah siap melebihi 80 peratus termasuk landasan ketiga yang telah diturap.

"Berdasarkan taklimat dan lawatan tapak yang saya lakukan ke tapak pembinaan KLIA 2 pada Jumaat, saya menaruh penuh keyakinan bahawa projek nasional berimpak tinggi ini akan siap dan boleh beroperasi mengendali penerbangan dan penumpang seperti sasaran awal iaitu pada bulan Jun ini," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Abdul Rahim berkata projek nasional berimpak tinggi yang menelan belanja RM4 bilion itu mampu menampung tambahan 40 juta penumpang.

Katanya, berdasarkan unjuran kepesatan pergerakan penumpang, kapasiti ini akan bertahan sehingga tahun 2020.

"Selain Air Asia, Syarikat Penerbangan Malindo Airways yang akan memulakan operasinya hujung bulan ini, akan menjadi syarikat penerbangan utama menggunakannya KLIA2 di samping syarikat penerbangan kos rendah dari luar negara seperti Tiger Airways, Cebu Pasific dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, kewujudan KLIA2 ini akan memacu sektor penerbangan negara dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia khususnya di Asia Tenggara.

"Kos pembinaan RM4 bilion lapangan terbang ini dikatakan kos pembinaan antara yang termurah jika dibandingkan dengan lapangan terbang lain di dunia dengan jaminan kualiti yang baik dan dilaksanakann menggunakan kepakaran perunding, pengurus projek dan kontraktor pelaksana tempatan rakyat dan anak Malaysia," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain