suria

Mukhriz Kesal Kerajaan Kedah Bohongi Rakyat

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan PAS negeri itu yang terus melakukan pembohongan dengan mengambil nama atas segala usaha yang dilakukan kerajaan Pusat.

Mukhriz mendedahkan beberapa pembohongan yang tercatat dalam buku laporan sepenggal kerajaan negeri Kedah 2008-2013 'Sayangi Kedah Sejahtera' setebal 48 muka surat kepada pemberita di sini, Khamis.

"Saya lihat buku laporan sepenggal (lima tahun) pemerintahan PAS di Kedah sarat dengan penipuan. Sebagai contoh, projek-projek yang dilaksanakan kerajaan Pusat, semuanya disenaraikan di bawah projek kerajaan negeri.

"Lebih mengejutkan saya apabila pembinaan masjid terbesar di kawasan saya iaitu Masjid Telaga Batu, Air Hitam, Jerlun turut tersenarai antara 12 masjid yang dibina kerajaan negeri sejak 2008.

"Perkara itu tak sepatutnya berlaku di mana orang lain (kerajaan Pusat) yang mengusahakannya tetapi mereka (kerajaan negeri)yang ambil nama," katanya selepas mengumumkan Himpunan Anak Kedah di sini, Khamis.

Mukhriz berkata, beliau akan meneliti buku laporan tersebut dan mendedahkan satu persatu pembohongan yang dilakukan kerajaan negeri supaya rakyat sedar mereka telah diperlekehkan.

"Saya ingat dalam setiap muka surat ini ada pembohongan. Jadi kita akan dedahkan pembohongan tersebut supaya rakyat sedar bahawa kebijaksanaan mereka telah diperlekehkan kerajaan negeri," katanya.

Beliau turut mempertikaikan ketelusan kerajaan Kedah menggunakan peruntukan dana kerajaan Pusat sebanyak RM150 juta untuk memperbaiki kemudahan jalan raya di negeri itu.

"Saya terima rungutan daripada penduduk kampung mengenai jalan raya yang rosak sehingga menyebabkan kemalangan berlaku. Itu perkara serius. Mereka tanya bila nak baiki?

"Peruntukan kerajaan Pusat dah bagi...cuma saya dengar RM60 juta dibelanjakan untuk tujuan itu, lagi RM90 juta entah ke mana. RM60 juta itu pun saya tak tahu jalan mana yang dibaiki...bukan kawasan saya di Jerlun, ini saya buat sendiri," katanya.

Sementara itu, Mukhriz menyelar tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan empat kenyataan berunsur hasutan berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu.

"Kita sebagai manusia tidak bebas dari melakukan kesilapan. Di Malaysia, kalau kita dah sedar telah melakukan satu kesilapan, kita kena cepat-cepat mohon maaf.

"Kita bukan jenis manusia yang tak boleh terima permohonan maaf mana-mana pihak tetapi sampai ke sudah mempertahankan kenyataannya itu betul. Jadi tindakan itu tidak boleh kita terima," katanya.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis.

Empat kenyataan itu ialah:

* Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

* Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan Umno.

* Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah. Kejadian pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah; dan

* Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dari isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain