Pembangkang Tidak Dapat Faedah Daripada Kenyataan Tian Chua - Penganalisis Politik - Semasa | mStar

Pembangkang Tidak Dapat Faedah Daripada Kenyataan Tian Chua - Penganalisis Politik

GEORGE TOWN: Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua cuba mempolitikkan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah menunjukkan ketidakmatangannya kerana ia tidak membawa sebarang kesan positif kepada PKR dan pakatan pembangkang, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata insiden pencerobohan di Lahad Datu itu melangkaui kepentingan politik mana-mana pihak kerana ia melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara.

"Jika pencerobohan itu dimanipulasi sebagai isu politik, ia menunjukkan ketidakmatangan seseorang pemimpin dalam konteks negara kita. Tian Chua harus memahami peranan pasukan keselamatan di sana bukan sahaja menjaga kepentingan masyarakat di Lahad Datu sahaja, ia turut melibatkan keselamatan 28 juta penduduk Malaysia.

"Ada perkara boleh dipolitikkan, ada perkara tak boleh. Kenyataan Tian Chua itu menunjukkan kedudukan beliau sebagai seorang pemimpin. Ia tidak memberikan mileage (faedah) kepada beliau, banyak kesan-kesan negatif daripada positif," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Tian Chua yang diterbitkan KeadilanDaily.com pada 1 Mac lepas, bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno - Tian' yang mengandungi kata-kata fitnah jahat terhadap Umno. Tian Chua dilapor mengeluarkan kenyataan bahawa insiden pencerobohan di Lahad Datu adalah sandiwara Umno untuk menakut-nakutkan rakyat, susulan kejadian serangan ke atas pasukan keselamatan negara yang mengorbankan dua anggota polis pada 1 Mac.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Bekas Parajurit Negeri Pulau Pinang Mohd Sabri Samad berkata tindakan segera perlu diambil terhadap Anggota Parlimen Batu itu dan beliau (Mohd Sabri) tidak mahu isu tersebut berlarutan sehingga pilihan raya umum ke-13.

"Macam kes Mat Sabu berhubung isu Bukit Kepong yang memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis, tindakan segera diambil ke atas beliau.

"Tindakan yang sama perlu diambil terhadap Tian Chua dan dia perlu dibicarakan dengan segera. Jangan biarkan perkara ini berlarutan sehingga pilihan raya. Kerajaan perlu ambil tindakan segera," katanya.

Beliau berkata pemimpin politik tidak seharusnya mencampuradukkan isu keselamatan negara dengan politik kerana ia boleh menggugat keamanan negara.

Mohd Sabri turut menyelar kenyataan sesetengah pihak yang menghina anggota pasukan keselamatan kerana mereka ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara serta tidak mewakili mana-mana parti politik.

"Kita dah dilatih bukan untuk parti politik. Kem-kem yang menempatkan kita tak pernah pun digunakan untuk ceramah politik...yang kita ada kita tolong semua orang tanpa mengira parti politik," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain