suria

Kastam Johor Gagalkan Cubaan Seludup Rokok Dari Singapura

JOHOR BAHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 2.896 juta batang rokok putih dan kretek melibatkan nilai dan cukai sebanyak RM1.52 juta selepas menahan sebuah lori di sini, Jumaat lepas.

Pengarahnya Datuk Ramli Johari berkata lori berkenaan ditahan bersama pemandunya di Jalan Lingkaran Dalam, kira-kira pukul 2.20 petang oleh sepasukan anggota Kastam dengan bantuan Unit Operasi Penguatkuasaan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan beberapa anggota polis.

Lori itu ditahan bila enggan berhenti untuk pemeriksaan dan merempuh palang keselamatan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di BSI.

"Pemeriksaan terhadap lori dari Singapura itu menemui 17,200 karton rokok putih dan kretek pelbagai jenama dan pemandu lori berumur 34 tahun itu kemudian turut ditahan untuk siasatan selanjutnya," katanya kepada pemberita di Menara Kastam, di sini, Selasa.

Sementara itu, JKDM Johor berjaya menggagalkan 81 kes penyeludupan sepanjang tempoh bulan lepas berbanding 67 kes penyeludupan dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Ramli.

"Daripada jumlah bulan lepas itu, sebanyak enam kes cubaan menyeludup dari Bangunan Sultan Iskandar direkodkan yang melibatkan nilai dagangan sebanyak RM910,861.69 dan cukai terlibat sebanyak RM6.06 juta berjaya dipatahkan.

"Ini berbanding empat kes bagi tempoh sama tahun lepas yang melibatkan nilai dagangan RM175,041.40 dan cukai sebanyak RM245,513.22," katanya. BERNAMA

Artikel Lain