suria

Banjir Kilat Di Kota Marudu Semakin Pulih - Ongkili

KOTA MARUDU: Banjir kilat yang berlaku semalam menjejaskan 14 kampung di Kota Marudu tetapi keadaan kembali pulih sekitar 6 petang Sabtu.

Banjir yang berlaku itu mengejutkan penduduk memandangkan hujan yang turun sekitar 7 petang tidak lebat. Bagaimanapun air melimpah keluar daripada Sungai Bandau dan Sungai Tuaran menyebabkan banjir terutama di pusat komersil Goshen.

Anggota Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Jabatan Meteorologi melaporkan berdasarkan imej radar hujan turun antara 5mm dan 15mm di Kudat dan di kawasan pantai barat semalam.

Pada 3 petang semalam awan terbentuk di bahagian tengah Sabah dan bergerak ke arah barat. Menjelang 7.30 malam kebanyakan awan hujan bergerak ke arah Laut China Selatan.

Tompok kecil awan hujan masih di sekitar bahagian barat Sabah dan beransur hilang menjelang 9 malam dan tiada amaran dikeluarkan kerana tompok awan agak kecil dan bergerak pantas.

"Ia adalah bencana alam yang tidak dapat diramalkan dan bersyukur ia tidak berpanjangan. Bilik gerakan bencana alam di pejabat daerah diaktifkan pada 8 malam.

"Sebahagian infrastruktur, bekalan elektrik dan tiang telefon turut terjejas serta banyak jalan raya yang terputus dan empat rumah dihanyutkan. Sebanyak 20 keluarga yang dipindahkan telah dihantar pulang sebaik situasi beransur pulih.

"Bekalan ke beberapa kampung turut terjejas dan kami masih menilai keadaan itu dan kerosakan. Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat juga memantau situasi itu dan bersedia menghulurkan bantuan sebaik mangsa banjir dikenal pasti," kata Ongkili dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata bekalan elektrik juga terputus semasa bencana itu tetapi disambung kembali selepas itu.

Kedua-dua tangki penyimpanan air juga dipenuhi dengan sampah sarap dan batu menyebabkan kerosakan serius kepada struktur kejuruteraannya.

"Kekurangan bekalan air dijangka selama tiga hari dan kita meminta semua pengguna di daerah ini untuk menjimatkan air. Kerja-kerja kejuruteraan untuk memulihkan kerosakan di kedua-dua stesen air dimulakan segera dan dijangka mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan," katanya.

Beliau juga mengarahkan agensi dan jabatan berkaitan untuk menilai situasi itu dan menyerahkan laporan kerosakan kepada MKN. -BERNAMA

Artikel Lain