suria

PAS Sedia Tinggalkan Pakatan - Hadi

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA TERENGGANU: PAS tidak ragu-ragu untuk meninggalkan Pakatan Rakyat sekiranya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak memberikan manfaat kepada kepentingan orang Islam dan Melayu kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Sekiranya menjadi satu pakatan yang merugikan PAS kita akan keluar. Tidak ada keraguan mengenainya.

"Namun hingga hari ini, PAS kekal bersama Pakatan, yang menerima Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi disamping mengiktiraf hak Bumiputra dan keistimewaan Raja-Raja Melayu," katanya dalam satu ceramah di Kuala Nerus pada malam Sabtu.

Baru-baru ini Majlis Syura Ulama PAS menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu dan ia dilihat bertentangan dengan pendirian Presiden PAS yang membenarkan orang bukan Islam menggunakannya dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Ekoran keputusan tersebut beberapa demonstrasi jalanan membantah pendirian yang dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menggesa agar penggunaan kalimah 'Allah' dibenarkan dalam teks bukan Islam.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Redang berkata hubungan PAS dengan DAP dan PKR adalah berlandaskan tahalluf siyasi (perjanjian atas kepentingan politik) telah memperkuatkan orang Melayu dan Islam di negara ini.

"Kami telah melihat anjakan paradigma dikalangan pengundi, dengan refleksi kemenangan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (daripada PAS) dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (PKR) yang bertanding dan menang menentang calon bukan Islam.

"Ini membuktikan kami mendapat sokongan daripada pengundi Islam dan bukan Islam," katanya.

Berhubung desakan oleh Karpal agar PAS mengekalkan keputusan seperti yang dipersetujui dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu kalimah 'Allah', Abdul Hadi berkata Pengerusi DAP itu sepatutnya bertemu dengannya secara peribadi berbanding menggunakan media dalam isu tersebut.

Beliau turut menegaskan tidak akan memberikan sebarang komen berhubun kenyataan dibuat oleh Karpal kepada media.

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain