suria

'Saya Merindui Dia Setiap Hari' – Ibu William

PETALING JAYA: Kematian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, William Yau Zhen Zhong merupakan mimpi ngeri bagi keluarganya.

"Saya merindui dia setiap hari," kata ibu kanak-kanak malang berkenaan, Goh Ying Ying, 28 tahun.

Goh berkata dia berharap dapat menyabut perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini bersama dengan William.

"Saya tahu dia telah pergi, saya Cuma berharap 'er zi' saya (panggilan anak bahasa Mandarin) akan kembali menyambut Tahun Baru Cina bersama saya.

"Saya tahu ia adalah mustahil namun saya tetap berdoa agar dia dapat kembali bersama saya," katanya.

Sambil menangis, Goh berkata keluarganya tidak akan menyambut Tahun Baru Cina kerana masih berkabung atas kematian William.

"Dia seorang yang paling gembira ketika upacara makan besar keluarga kerana dia dapat bermain bersama dengan sepupunya," katanya.

Disebalik makanan yang banyak ketika hari perayaan, Goh berkata William tetap menggemari KFC.

"Dia tetap mendesak kami ke KFC pada hari pertama perayaan Tahun Baru Cina. Selepas itu baru lah dia akan berpuas hati pada hari itu," katanya.

Disebalik tragedi yang berlaku terhadap William, termasuk tuduhan liar terhadap dia dan suaminya, Yau Kok Kang, 32, Goh berkata dia akan tetap kuat dan tekad untuk mencari kebenaran disebalik punca kematian anaknya.

"Saya harap polis dapat mencari kebenaran di sebalik kematian William secepat mungkin. Saya juga menghargai apa yang telah dilakukan oleh pihak polis," katanya.

Goh berkata ada pihak menuduh dia dan suaminya telah mendera William namun kebenarannya ialah dia amat menyayangi anak lelakinya itu.

"Saya sanggup mengorbankan nyawa saya untuk dia…bagaimana saya mahupun suami saya mahu menyakiti dia," katanya.

Artikel Lain