suria

Lumrah Pembangkang Hambur Fitnah Menjelang PRU13 -Muhyiddin

KANGAR: Menjadi lumrah pembangkang menghambur pelbagai bentuk fitnah terhadap kerajaan serta menabur janji untuk meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, yang semakin hampir, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga naib presiden Umno, berkata kerajaan pula akan sibuk memberi penjelasan kepada rakyat agar tidak terpedaya dengan taktik pembangkang.

Beliau merujuk Buku Jingga PAS yang didakwa parti itu mengandungi perancangan lebih baik berbanding Belanjawan 2013 kerajaan Barisan Nasional (BN)untuk membangunkan negara serta memastikan kebajikan rakyat terjamin. "Kita telah kaji dan teliti satu persatu perancangan yang terkandung dalam Buku Jingga mereka. Kita ada hitam putih (pembentangan belanjawan). Jika dilaksanakan rancangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara boleh bankrap pada 2015.

"Dakwaan Anwar defisit negara meningkat dan kerajaan tiada wang adalah tidak berasas dan pembohongan besar. Dia buat dosa kering sahaja," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Dataran Datuk Sheikh Ahmad malam ini, yang dihadiri hampir 6,000 orang.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung dan wakil komponen BN. Muhyiddin berkata kerajaan mampu melaksana pelbagai bantuan kepada rakyat pada awal tahun, antaranya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta bantuan awal persekolahan tanpa meminjam wang, dan ini bermakna tohmahan pembangkang tidak benar dan satu pembohongan.

"Dia (Anwar Ibrahim) marah pada kerajaan, dia pergi luar negara memburukkan negara. Ini adalah sifat pengkhianat. Buruk-burukpun Malaysia negara kita," katanya. Beliau berkata kerajaan BN serius membela nasib setiap kaum dan melakukan yang terbaik untuk masa depan negara. "Niat baik kerajaan BN ini tidak berlaku di Selangor, yang diperintah pakatan pembangkang, yang menolak peruntukan RM660 juta bagi membina loji air Langat II untuk membekalkan air secukupnya kepada rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan. "Saya nak lihat sama ada Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), yang merupakan bekas ahli korporat, akan meletakkan kepentingan politik beliau mengatasi keperluan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menawarkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Perlis berharga di bawah RM150,000. "Sekiranya kerajaan negeri berhajat, carilah tapak, kita akan bina," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin. -BERNAMA

Artikel Lain