suria

Sabah Akan Terus Jadi Kubu Kuat BN - Musa Aman

SANDAKAN: Sabah akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) kerana penduduknya tahu menilai bahawa kerajaan dan pemimpin yang baik mampu membela nasib mereka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya itulah jawapan beliau apabila sering ditanya pemimpin lain bagaimana Sabah mampu menjadi kubu kuat BN.

"Mudah untuk saya menjawabnya, rakyat Sabah tahu mengenang budi, tahu menilai kerajaan dan pemimpin yang baik.

"Rakyat Sabah mahu kerajaan yang mampu memberikan kesinambungan kepada program bantuan yang memberi manfaat kepada mereka," katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0, di sini, Khamis.

Sebanyak 2,000 orang dari kawasan Dewan Undangan Negeri Sibuga menerima bantuan itu dalam fasa pertama hari ini, membabitkan jumlah keseluruhan 6,450 penerima.

Mengenai pemberian BR1M, Musa berkata seumbangan itu merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan bantuan dan turut memberi manfaat kepada penduduk miskin di luar bandar.

Beliau berkata BR1M adalah antara program bantuan yang diwujudkan kerajaan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar keluhan rakyat.

"Pemberian BR1M ini diumum perdana menteri pada pembentangan bajet pada tahun lepas dan sejajar dengan konsep 'Janji Ditepati' yang menjadi pegangan kerajaan BN, janji ini ditunaikan," kata Musa. -BERNAMA

Artikel Lain