suria

Raja Permaisuri Agong Dikurnia Darjah Tertinggi Jepun

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan menerima pengurniaan darjah tertinggi Diraja Jepun 'Grand Cordon of the Supreme Order of the Chrysanthemum'.

Baginda mencemar duli menerima anugerah itu daripada Duta Jepun ke Malaysia Shigeru Nakamura di Istana Negara di sini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berangkat pada upacara itu.

Anugerah itu hanya dikurniakan kepada anggota kerabat Diraja wanita, baik untuk kerabat Diraja Jepun mahupun dari negara asing.

Anugerah sama dikurniakan kepada Raja Permaisuri Agong ke-12 Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada 2005.

November lepas, Kedutaan Jepun memaklumkan kepada Wisma Putra akan hasrat kerajaannya untuk mengurniakan darjah itu yang mencerminkan keazaman Jepun dalam mempertingkat hubungan dua halanya dengan Malaysia.

Antara yang pernah menerima anugerah itu ialah Ratu Margrethe II dari Denmark, Maharani Farah dari Iran, Ratu Paola (Belgium), Ratu Silvia (Sweden), Ratu Sirikit (Thailand) dan Ratu Sofia dari Sepanyol. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain