Siasatan Kematian 14 Gajah Diperhebat, Ganjaran RM40,000 - Semasa | mStar

Siasatan Kematian 14 Gajah Diperhebat, Ganjaran RM40,000

KOTA KINABALU: Siasatan mengenai kematian 14 gajah pigmy Borneo secara misteri di Hutan Simpan Rara kira-kira 139km dari Tawau baru-baru ini diperhebat dan ganjaran tambahan sebanyak RM40,000 ditawarkan kepada mereka yang memberi maklumat hingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab bagi kematian haiwan itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata beliau diberi taklimat tentang perkara itu oleh setiausaha tetapnya Datuk Micheal Emban, yang mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas berhubung kematian gajah berkenaan.

"Sekiranya laporan ahli kimia menunjukkan gajah itu dibunuh secara sengaja, maka kementerian bersedia menawarkan ganjaran RM40,000 kepada pemberi maklumat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan Malindo Air bagi laluan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Masidi berkata demikian apabila ditanya tentang perkembangan terkini siasatan berhubung kematian haiwan berkenaan.

Sebelum ini, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pensabitan kesalahan mereka yang menyebabkan kematian gajah yang diancam kepupusan itu.

"Jadi, dengan tawaran RM10,000 oleh MATTA, jumlahnya kini menjadi RM50,000," kata Masidi.

Bagaimanapun, tawaran itu tertakluk kepada laporan ahli kimia, yang dijangka dikeluarkan Jumaat ini, kata beliau, yang sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa berdasarkan pemeriksaan awal terhadap bangkai gajah terbabit, kematian haiwan itu mungkin kerana diracun.

Sementara itu, Masidi berkata dua pegawai kanan polis dilantik menyiasat kes berkenaan.

Pada 1 Februari, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dipetik sebagai berkata bahawa polis Sabah telah membuka kertas siasatan berhubung kematian gajah itu.

Hamza berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana melakukan kejahatan dengan membunuh atau mencederakan haiwan, yang memperuntuk hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Penyiasatan kami melibatkan aspek jenayah," katanya. BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

Artikel Lain