suria

Ibu Bapa Direman Bantu Siasatan Kematian Anak

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan ibu bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun yang ditemui meninggal dunia Khamis lepas di rumahnya di Semenyih, Kajang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata ibu bapa kepada Allahyarham Muhammad Irfan Raiyan ditahan di kediaman mereka di Semenyih Indah, Kajang pada pukul 11.45 malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Bapa kepada kanak-kanak itu seorang anggota keselamatan berusia 26 tahun dan ibunya seorang suri rumah berusia 25 tahun direman mulai hari ini sehingga Jumaat ini, katanya dalam sidang media di sini.

Laporan akhbar sebelum ini berkata polis mengesahkan Muhammad Irfan Raiyan adalah mangsa dera berdasarkan hasil bedah siasat di Hospital Serdang.

Punca kematiannya adalah akibat terkena benda keras dan pendarahan di kepala selain lebam di bahagian dada, tangan dan kesan rotan di kaki.

Kanak-kanak itu ditemui tidak bernyawa, oleh ibunya ketika mahu mengejutkannya untuk mandi. - BERNAMA

Artikel Lain